BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 10, 2010

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGEKANG MASALAH KENAIKAN HARGA BARANG



Menelusuri ambang modenisasi , alangkah sejuk hati kita melihat Perdana Menteri secara terang-terangan dan penuh emosi menyatakan kekecewaan beliau terhadap masalah kenaikan harga barang . Teguran tersebut meniti dari bibir ke bibir umat manusia serta menjadi isu kontemporari negara sehingga sesetengah pihak yang bersikap evasif sanggup melatah dan menuding jari sesama diri . Dalam konteks ini , masalah kenaikan harga barang atau istilah yang lebih serasi dengan penghuni-penghuni bandar metropolis , iaitu inflasi haruslah dikekang oleh seantero lapisan masyarakat melalui pelbagai prakarsa yang agresif dan efektif . Sebelum masalah ini menular menjadi duri dalam daging dan terus bernanah dalam masyarakat agar tidak sudah terhantuk baru tengadah .


Meneliti akar umbi yang mengeruhkan senario ini , iaitu ledakan kemerosotan ekonomi yang hampir melumpuhkan kerangka ekonomi antarabangsa , nescaya kerangka iktisad negara haruslah diperkasa semula dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan pengeksportan hasil-hasil komoditi . Memaparkan pepatah Melayu yang berbunyi‘cermat masa banyak , jimat masa sedikit ’, pengguna-pengguna digesa agar berhemat ketika berbelanja dan mengurangkan penggunaan barangan tertentu yang tidak diperlukan . Dalam konteks ini , sifat mengawal nafsu kebendaan dan merancang perbelanjaan sendiri bagai mengukur baju di badan bukan sahaja dapat meminimakan pembelanjaan seharian , malahan dapat mengelakkan pemborosan . Selain itu , kita juga haruslah memulaukan barangan import . Selaku pengguna yang bijak , barangan buatan Malaysia haruslah menjadi pilihan utama dan dominan segenap lapisan masyarakat demi menyemarakkan pasaran barangan buatan tempatan . Ghalibnya , paradigma generasi muda dikongkong bahawa produk import lebih gah berbanding barangan butan negara , sehingga mereka terlalu mengagung-agungkan barangan import .


Sementelahan itu , peranan signifikan yang dimainkan oleh institusi keluarga untuk menyuntik sikap berjimat cermat yang luhur dan tidak lapuk dek kehujanan , tidak lekang dek kepanasan dalam jiwa raga generasi muda memang tidak dapat dinafikan . Ibu bapa berperanan mengikis tabiat buruk anak-anak yang menukar barang lama kepada yang baharu . Di samping itu , ibu bapa wajar berbelanja secara berhemat kerana anak-anak yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang mudah terikut-ikut cara mereka berbelanja . Hal ini amatlah serasi dengan pepatah “ menjernihkan air di muara mulakan di hulu ”dan “ mengenal getah batang lihatlah pada daunnya ” . Bak kata pepatah ,“ ke mana tumpahnya hujan dari bumbungan , kalau tidak ke kecucuran atap ? ” , ibu bapa yang berdedikasi adalah entiti mithali untuk mencorak dan menjana insan madani yang menyokong barangan butan Malaysia . Pada hemat saya , ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak bahawa barangan import lebih mahal daripada barangan buatan Malaysia dan membuang sikap “biar papa asal bergaya” dalam generasi muda . Anak-anak turut perlu diberi penekanan oleh ibu bapa bahawa membeli barangan export akan mengakibtkan pengaliran keluar mata wang secara besar-besaran dan seterusnya menjejaskan imbangan pembayaran negara , malahan membantutkan perkembangan ekonomi negara .


Mentelah lagi , masyarakat haruslah memberi sambutan yang memberangsangkan terhadap projek penanaman hidroponik yang diuar-uarkan oleh kerajaan marcapada ini agar strategi tersebut tidak hanyalah lunak dari segi teori dan indah khabar daripada rupa . Pada realitinya , strategi serampang dua mata ini bukan sahaja efektif dalam mengatasi masalah inflasi dengan membekalkan hasil-hasil tanaman yang bebas daripada pencemaran bahan kimia untuk kegunaan domestik , malahan dapat membuka peluang pekerjaan dan seteruskan mengurangkan kadar pengangguran , seperti yang dimaksudkan dengan pepatah “ sambil menyelam minum air ” .


Selari dengan itu , kita haruslah mengekang kemelut inflasi dengan bijaksana dan memahami hak-hak kita sebagai pengguna . Statistik yang sahih lagi tepat melalui tinjauan rambang yang dilaksanakan menunjukkan sikap individualistik segelintir pengguna dan pengusaha yang membeli barangan terkawal secara pukal telah menyukarkan usaha-usaha kerajaan mengawal harga barangan . Rentetan itu , kita haruslah mengikis sikap kehalobaan dalam kalangan pengguna dan memikirkan produk alternatif untuk menggantikan barangan yang tidak munasabah harganya . Satu contoh yang dekat dengan kehidupan seharian kita ialah kita boleh memilih ayam untuk menggantikan ikan yang mahal sempena hari perayaan . Langkah alternatif yang boleh diambil oleh masyarakat ialah membeli belah semasa Jualan Mega kerana harga yang ditawarkan lazimnya lebih murah dan berpatutan . Walau bagaimanapun , pengguna haruslah memastikan mereka hanya membeli barangan tertentu sahaja , bukannnya barangan-barangan yang sememangnya tidak diperlukan .


Bak kata pepatah , alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan , inisiatif haruslah diimplimentasikan oleh kerajaan dengan lebih drastik dan komprehensif untuk mengekang penularan gejala inflasi secara habis-habisan sebelum menjadi leluasa atau berputik . Sajajar dengan itu , Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna haruskan menggubal mekanisme sedia ada untuk mengawal masalah inflasi , seperti Akta Pengawalan Harga . Tambahan pula , pihak berkuasa tidak seharusnya mengalah dengan ugutan atau rayuan yang tidak munasabah oleh pengusaha-pengusaha . Langkah pragmatik yang harus dilaksanakan ialah mengenakan kuota terhadap barangan import . Bertitik-tolak daripada itu , pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , seperti Persatuan Pengguna sayugialah bersinergi dan menggembleng tenaga dengan seantero lapisan masyarakat untuk memboikot barangan yang berharga melampau tinggi . Hakikatnya , sekiranya pertubuhan-pertubuhan tersebut senantiasa melaporkan barangan-barangan yang tidak munasabah harganya kepada kerajaan , nescaya masalah inflasi yang bersarang lama dalam negara kita dapat dikikis .


Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, komitmen dan iltizam segenap masyarakat berperanan vital untuk membangunkan kerangka iktisad negara yang kukuh dan gah sehingga berdiri sama tinggi , duduk sama rendah dengan negara-negara gergasi lain . Susulan daripada itu , anggota masyarakat haruslah menjadi pengguna yang bijak dan mengetahui hak-hak mereka selaku seorang pengguna demi mengekang inflasi .