BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 10, 2010

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGEKANG MASALAH KENAIKAN HARGA BARANG



Menelusuri ambang modenisasi , alangkah sejuk hati kita melihat Perdana Menteri secara terang-terangan dan penuh emosi menyatakan kekecewaan beliau terhadap masalah kenaikan harga barang . Teguran tersebut meniti dari bibir ke bibir umat manusia serta menjadi isu kontemporari negara sehingga sesetengah pihak yang bersikap evasif sanggup melatah dan menuding jari sesama diri . Dalam konteks ini , masalah kenaikan harga barang atau istilah yang lebih serasi dengan penghuni-penghuni bandar metropolis , iaitu inflasi haruslah dikekang oleh seantero lapisan masyarakat melalui pelbagai prakarsa yang agresif dan efektif . Sebelum masalah ini menular menjadi duri dalam daging dan terus bernanah dalam masyarakat agar tidak sudah terhantuk baru tengadah .


Meneliti akar umbi yang mengeruhkan senario ini , iaitu ledakan kemerosotan ekonomi yang hampir melumpuhkan kerangka ekonomi antarabangsa , nescaya kerangka iktisad negara haruslah diperkasa semula dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan pengeksportan hasil-hasil komoditi . Memaparkan pepatah Melayu yang berbunyi‘cermat masa banyak , jimat masa sedikit ’, pengguna-pengguna digesa agar berhemat ketika berbelanja dan mengurangkan penggunaan barangan tertentu yang tidak diperlukan . Dalam konteks ini , sifat mengawal nafsu kebendaan dan merancang perbelanjaan sendiri bagai mengukur baju di badan bukan sahaja dapat meminimakan pembelanjaan seharian , malahan dapat mengelakkan pemborosan . Selain itu , kita juga haruslah memulaukan barangan import . Selaku pengguna yang bijak , barangan buatan Malaysia haruslah menjadi pilihan utama dan dominan segenap lapisan masyarakat demi menyemarakkan pasaran barangan buatan tempatan . Ghalibnya , paradigma generasi muda dikongkong bahawa produk import lebih gah berbanding barangan butan negara , sehingga mereka terlalu mengagung-agungkan barangan import .


Sementelahan itu , peranan signifikan yang dimainkan oleh institusi keluarga untuk menyuntik sikap berjimat cermat yang luhur dan tidak lapuk dek kehujanan , tidak lekang dek kepanasan dalam jiwa raga generasi muda memang tidak dapat dinafikan . Ibu bapa berperanan mengikis tabiat buruk anak-anak yang menukar barang lama kepada yang baharu . Di samping itu , ibu bapa wajar berbelanja secara berhemat kerana anak-anak yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang mudah terikut-ikut cara mereka berbelanja . Hal ini amatlah serasi dengan pepatah “ menjernihkan air di muara mulakan di hulu ”dan “ mengenal getah batang lihatlah pada daunnya ” . Bak kata pepatah ,“ ke mana tumpahnya hujan dari bumbungan , kalau tidak ke kecucuran atap ? ” , ibu bapa yang berdedikasi adalah entiti mithali untuk mencorak dan menjana insan madani yang menyokong barangan butan Malaysia . Pada hemat saya , ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak bahawa barangan import lebih mahal daripada barangan buatan Malaysia dan membuang sikap “biar papa asal bergaya” dalam generasi muda . Anak-anak turut perlu diberi penekanan oleh ibu bapa bahawa membeli barangan export akan mengakibtkan pengaliran keluar mata wang secara besar-besaran dan seterusnya menjejaskan imbangan pembayaran negara , malahan membantutkan perkembangan ekonomi negara .


Mentelah lagi , masyarakat haruslah memberi sambutan yang memberangsangkan terhadap projek penanaman hidroponik yang diuar-uarkan oleh kerajaan marcapada ini agar strategi tersebut tidak hanyalah lunak dari segi teori dan indah khabar daripada rupa . Pada realitinya , strategi serampang dua mata ini bukan sahaja efektif dalam mengatasi masalah inflasi dengan membekalkan hasil-hasil tanaman yang bebas daripada pencemaran bahan kimia untuk kegunaan domestik , malahan dapat membuka peluang pekerjaan dan seteruskan mengurangkan kadar pengangguran , seperti yang dimaksudkan dengan pepatah “ sambil menyelam minum air ” .


Selari dengan itu , kita haruslah mengekang kemelut inflasi dengan bijaksana dan memahami hak-hak kita sebagai pengguna . Statistik yang sahih lagi tepat melalui tinjauan rambang yang dilaksanakan menunjukkan sikap individualistik segelintir pengguna dan pengusaha yang membeli barangan terkawal secara pukal telah menyukarkan usaha-usaha kerajaan mengawal harga barangan . Rentetan itu , kita haruslah mengikis sikap kehalobaan dalam kalangan pengguna dan memikirkan produk alternatif untuk menggantikan barangan yang tidak munasabah harganya . Satu contoh yang dekat dengan kehidupan seharian kita ialah kita boleh memilih ayam untuk menggantikan ikan yang mahal sempena hari perayaan . Langkah alternatif yang boleh diambil oleh masyarakat ialah membeli belah semasa Jualan Mega kerana harga yang ditawarkan lazimnya lebih murah dan berpatutan . Walau bagaimanapun , pengguna haruslah memastikan mereka hanya membeli barangan tertentu sahaja , bukannnya barangan-barangan yang sememangnya tidak diperlukan .


Bak kata pepatah , alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan , inisiatif haruslah diimplimentasikan oleh kerajaan dengan lebih drastik dan komprehensif untuk mengekang penularan gejala inflasi secara habis-habisan sebelum menjadi leluasa atau berputik . Sajajar dengan itu , Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna haruskan menggubal mekanisme sedia ada untuk mengawal masalah inflasi , seperti Akta Pengawalan Harga . Tambahan pula , pihak berkuasa tidak seharusnya mengalah dengan ugutan atau rayuan yang tidak munasabah oleh pengusaha-pengusaha . Langkah pragmatik yang harus dilaksanakan ialah mengenakan kuota terhadap barangan import . Bertitik-tolak daripada itu , pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , seperti Persatuan Pengguna sayugialah bersinergi dan menggembleng tenaga dengan seantero lapisan masyarakat untuk memboikot barangan yang berharga melampau tinggi . Hakikatnya , sekiranya pertubuhan-pertubuhan tersebut senantiasa melaporkan barangan-barangan yang tidak munasabah harganya kepada kerajaan , nescaya masalah inflasi yang bersarang lama dalam negara kita dapat dikikis .


Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, komitmen dan iltizam segenap masyarakat berperanan vital untuk membangunkan kerangka iktisad negara yang kukuh dan gah sehingga berdiri sama tinggi , duduk sama rendah dengan negara-negara gergasi lain . Susulan daripada itu , anggota masyarakat haruslah menjadi pengguna yang bijak dan mengetahui hak-hak mereka selaku seorang pengguna demi mengekang inflasi .


5 comments:

  1. Karangan yang saya tulis semasa peperiksaan pertengahan tahun . Walau bagaimanapun ,karangan saya tidak menepati keperluan soalan T T

    Meskipun mendapat markah rendah , namun peristiwa ini merupakan suatu pengajaran kepada saya . Telah berjanji kepada diri saya bahawa tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi . XD

    ReplyDelete
  2. Hello Anak Watan Milineum Baharu,
    Wow, sudah lama tidak mengepos karangan dalam blog anda. Tahniah, kerana karangan anda dalam blog ini telah memberi rujukan dan idea yang cukup baik kepada pelajar-pelajar lain. Teruskan penulisan. Memang pelajar selalu melakukan kesilapan seperti ini. Asalkan dapat mengetahui punca kesilapan dan ingatkan diri agar berhati-hati semasa membaca dan memahami kehendak soalan. Teruskan usaha dan terima kasih

    ReplyDelete
  3. boleh tahan juga..kesulapan boleh diperbaiki

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. The Ultimate Guide To The Casino Roll
    The 김해 휴게텔 casino's 토토커뮤니티 rollover mechanic is not so straightforward as to see why gamblers prefer to spend 아시아 게이밍 more time than 해외 축구 스코어 most people. The game is 크롬 번역기 rigged but the

    ReplyDelete