BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, September 6, 2009

Usaha-usaha Institusi Keluarga Untuk Memupuk Amalan Berbudi Bahasa (Dimensi Keluarga)


Sedasawarsa ini , sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia , kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah sosial yang menghinggapi masyarakat kita sendiri . Mutahir ini , sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru tanah air kita tentang isu ketandusan amalan berbudi bahasa yang kian hari kian ditelan arus kemodenan dan terpinggir dalam era atom ini . Sebelum masalah ini menular menjadi duri dalam daging dan terus bernanah dalam masyarakat , pelbagai prakarsa yang drastik dan efektif perlulah diambil agar tidak sudah terhantuk baru tengadah . Dalam konteks ini , peranan vital yang dimainkan oleh institusi keluarga untuk menyuntik amalan berbudi bahasa yang luhur dalam sanubari dan jiwa raga generasi muda yang bakal menerajui pelapis kepimpinan negara memang tidak dapat dinafikan .

Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , pelbagai langkah yang konkrit , sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan dengan berpaksikan prinsip "di mana ada kemahuan , di situlah ada jalannya" sejak anak-anak masih mentah lagi , seperti yang dicerminkan dalam peribahasa "melentur buluh biarlah dari rebungnya" . Pada realitinya , ibu bapa berperanan sebagai "role model" kepada anak-anak . Rentetan itu , mereka bertanggungjawab untuk mempamerkan dan menunjukkan suri teladan yang ideal untuk dijadikan ikutan anak-anak . Sebagai contoh , mereka perlulah mengamalkan sifat-sifat mahmudah yang jitu , seperti sifat altruistik , sifat amanah dan sebagainya . Bak kata pepatah , "bagaimana acuan , begitulah kuihnya " , uslub primer yang berstrategi serampang dua mata ini bukan sahaja merupakan batu loncatan untuk melahirkan individu yang bersahsiah tinggi , malahan efektif dalam mengekang masalah demoralisasi .

Selain itu , ibu bapa juga berperanan siginifikan memberi didikan agama yang komplit dan sempurna kepada anak-anak . Sebagai analoginya , Mantan Pertana Menteri . Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menegaskan bahawa institusi keluarga merupakan kilang yang menghasilkan produk modal insan melalui didikan agama yang sempurna untuk menghadapi pasaran kerja yang mencabar dan membangunkan kerangka iktisad negara . Kita mengakui hakikat bahawa kepincangan dalam didikan agama akan mengakibatkan keruntuhan sahsiah insan dan demoralisasi . Dalam perspektif yang lain , sekiranya garisan panduan yang berlandaskan pegangan agama yang jitu mendarah daging dalam sanubari anak-anak , nescaya panduan hidup tersebut dapat menjadi benteng yang mengekang diri mereka daripada unsur-unsur subversif yang mengheret diri ke lembah maksiat . Rentetan itu , ibu bapa perlulah memastikan anak-anak berpegang teguh pada didikan agama bagai hempedu lekat di hati agar sahsiah yang syumul lagi salih dapat dibentuk .

Di samping itu , ibu bapa haruslah senantiasa peka dan prihatin terhadap pergaulan anak-anak . Bertitik tolak daripada itu , golongan remaja yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang adalah mudah diajar dan akan mengikut apa sahaja yang diajar oleh ibu bapa mereka . Kendatipun demikian , mereka juga adalah mudah terpengaruh oleh rakan sebaya dan tergelincir daripada landasan keimanan . Bagi membuktikan perkara ini , contoh paling ketara yang boleh diketengahkan ialah budaya hedonisme , gangsterisme , vandalisme , gejala melepak dan masalah -masalah sosial lain yang semakin menular dan bersarang lama dalam kalangan remaja telah mencerminkan generasi muda yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya akibat pengaruh rakan sebaya . Justeru , ibu bapa perlu mengajar anak-anak agar berpaksikan prinsip "yang baik dijadikan teladan , yang buruk dijadikan sempadan " dalam pengaulan sosial mereka .

Peribahasa Melayu barangkali mengemukakan petitih yang yang membawa mesej "budi bahasa budaya kita " . Ini menggambarkan masyarakat Melayu dahulu amatlah menghargai budi bahasa yang dianggap terak kekuatan dan sendi pengikat kesatuan . Lantaran itu , ibu bapa hendaklah menceritakan tentang karya-karya warisan Melayu kepada generasi muda . Antara , warisan-warisan nenek moyang yang merupakan khazanah kita dan membawa mesej "berbudi bahasa" temasuklah syair tradisional , cerita dogeng , pantun dan sebagainya . Peninggalan nenek moyang ini sering menekankan bahawa amalan berbudi bahasa merupakan doktrin utama merupakan santapan jiwa yang menjadi jambatan untuk melahirkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat .

Tambahan pula , ibu bapa juga perlu menggalakan anak-anak untuk memberi sambutan yang memberangsangkan dalam kempen "Budi Bahasa Budaya Kita"yang dilaung-laungkan oleh kerajaan . Ibu bapa turut bertanggungjawab mendorong anak-anak menonton filem dan iklan yang bertemakan budi bahasa dan isu-isu yang relavan . Statistik yang sahih telah menunjukkan minhaj ini memang jauh lebih efisen dan efektif berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif . Kesemua ini menyumbang ini kepada keutuhan akhlak dan mencerahkan prospek generasi muda sebagai bakal tonggak negara yang berkarisma .

Bukan itu sahaja , ibu bapa juga berperanan memastikan pertumbuhan anak-anak sarat dengan kasih sayang supaya generasi muda yang berbudi bahasa dapat dibentuk . Pada hemat saya , kerapuhan institusi keluarga atau masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi dalam keluarga akan melahirkan generasi muda yang rosak binasa akhlak dan moralnya . Kendatipun demikian , ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh turut memberi impak negatif terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak . Maka , kesenangan dan kemewahan yang dinikmati mengakibatkan mereka tidak mengenal nilai kesyukuran dan tidak bersyukur dengan segala nikmat yang sedia ada sehingga sanggup meminggirkan amalan berbudi bahasa dan mengabaikan disiplin diri .

Seterusnya , ternyata bahawa perubahan pesat yang berlaku dalam segenap aspek kehiduan serta peralihan gaya hidup tradisional kepada gaya hidup moden sekaligus membawa perubahan kepada gaya hidup generasi muda yang lebih cenderung kepada keseronokan dan kepelesiran . Akibat terlalu taksub dengan kenikmatan materialistik dan terikut budaya Barat , alangkah kecewanya melihat ukuran kelebihan generasi muda adalah pada kualiti kebendaan dan bukannya pada sifat mahmudah dalam keperibadian seseorang . Demi mengekang kemulut ini , ibu bapa haruskan mengikis budaya Barat yang sebelum budaya yang bertentangan dengan budaya Timur ini mengongkong paradigma anak-anak .

Amalan berbudi bahasa yang diamalkan merupakan manifestasi kepada menjana ketrampilan diri remaja dari aspek mental dan fizikal untuk menyediakan pelapis kepimpinan yang akan memacu negara ke puncak jaya . Dalam hal ini , usaha memupuk amalan berbudi bahasa dalam segenap lapisan masyarakat memang tidak akan membuahkan hasil tanpa institusi keluarga yang sarat dengan kasih sayang . Demi melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 , iltizam dan komitmen institusi keluarga berserta segenap masyarakat amatlah vital dan berperanan siginifikan .

9 comments:

  1. hello izukaz-X,
    Belum lagi cikgu berjumpa dengan pelajar yang begitu kaya dengan kosa kata yang menarik untuk digunakan dalam penulisan karangan. Tahniah kerana menguasai kosa kata tersebut. Cuma cikgu ingin anda menggunakan kosa kata tersebut secara berpada-pada iaitu tidak keterlaluan dalam keseluruhan karangan anda. Kadang-kadang kosa kata seperti ini jika digunakan terlalu banyak dalam karangan akan merencatkan keseluruhan pengolahan karangan anda.
    Terima kasih kerana mengambil inisiatif untuk menulis tanpa dipaksa. Anda pasti akan berjaya kerana mempunyai kesungguhan dan disiplin yang tinggi dalam pembelajaran anda.

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih cikgu , saya akan menjadikan kata-kata cikgu sebagai panduan dalam penulisan karangan dan akan menggunakan kosa kata secara berpada-pada .

    ReplyDelete
  3. @.@ izukazx, kamu telah menggunakan banyak kosa kata. Saya tidak faham dan sangat susah nak memahami karangan anda. Harap kamu dapat menulis dengan cara yang kami boleh senang memahaminya ataupun menerangkan maksud-maksud kosa kata itu. T.K

    ReplyDelete
  4. Karangan kamu sangat baik.....saya memahami hampir kesuluruhan karangan

    ReplyDelete
  5. hi...ur essay is very good...i am going to take some of ur points to write my essay...thanks and gud luck =D...

    ReplyDelete
  6. karangan yang sangat padat dengan isi serta kosa kata yang bombastik..don't be mad..i'm going to use some of the points to put in my essay..it really helpful..nice job..

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. wah, hebatnya karangan kamu...sy nak amik serba sikit ayat dr krgan awk blh? :)

    ReplyDelete